Hang
Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan
Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada 1400-1511
A.D). Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampong Sungai Duyong, Melaka
kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya
pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang
handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang
di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada
Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang
Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang
Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh
cinta pada Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi
pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota
Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu
Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara
kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan
seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan
sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat
gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa,
Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari.
Dalam
pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan.
Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada
kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh
Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada
Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa
Taming Sari. Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja
untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor
turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah.
Melor
telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan
gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang
akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan
Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan
Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan
oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu
Melaka. Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan
Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang
Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah
teraniaya dan telah menjalani hukuman mati.
Hang
Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu),
bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar
atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi)
yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya. Sultan
Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu
baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah
masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya
telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat.
Setelah
tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya
daripada Hang Jebat dan membunuhnya. Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang
Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang
Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan.
Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia
bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya.
Ternyata,
kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari
sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini
masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang. Namun begitu, ada juga
yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada
sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa
dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang
membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap
pembunuh. Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang
di dunia" yang bererti suku Melayu tidak akan punah di bumi ini.
"Hikayat Hang Tuah" merupakan sebuah cerita hikayat Melayu yang
menggambarkan dengan terperinci keadaan semasa sewaktu tersebut.
Hikayat
Hang Tuah telah disifatkan oleh pengkaji sebagai menggambarkan tiga zaman yang
ditempuhi oleh bangsa Melayu iaitu zaman permulaan, zaman kegemilangan, dan
zaman kejatuhannya. Terdapat pertelingkahan mengenai sama ada Hang Tuah
benar-benar wujud, ataupun hanya dongengan semata-mata. Ini disebabkan tempoh
yang dirangkumi dalam Hikayat Hang Tuah agak lama. Selain itu terdapat
pertelingkahan dalam beberapa kitab lain mengenai jalan cerita hikayat Hang
Tuah. Masalah ini bukannya satu masalah yang besar dan merupakan satu perkara
biasa bagi tokoh silam, sama seperti permasalahan tokoh Raja Arthur atau, tokoh
Robin Hood dalam legenda Inggris.
0 comments:
Post a Comment